Sebagai
negara bangsa, peranan bahasa Melayu dalam pendidikan amat penting dengan
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah
dan pusat pengajian tinggi awam. Kepentingan bahasa Melayu dapat dilihat dalam
Akta Pendidikan 1996, Perkara 17 yang menyatakan:
“Bahasa
Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi
pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen
28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri
daripada subseksyen ini”.
Peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan terus diberi penekanan
dalam Pelan Induk Pendidikan 2006-2010 yang dilancarkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) bagi membantu memantapkan lagi perpaduan negara
bangsa. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ini mengandungi 6 teras iaitu
membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah
kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan
melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pembinaan negara bangsa bagi
sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama
dalam era globalisasi yang membenarkan peraturan secara bebas dan pantas bukan
sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai,budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung
kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme,lingua franca,integrasi,
kewarganegaraan dan demokrasi. Fokus utama dalam membina negara bangsa
mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas
perpaduan,integrasi nasional dan bahasa ilmu. Antara strategi untuk membina
negara bangsa ialah menggerakkan gelombang baru iaitu gerakan memperkasakan
bahasa kebangsaan, memantapkan perlaksanaan Dasar Buku Negara, menyelaras
peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti
kebahasaan,kesusasteraan,pengkaryaan,penterjemahan serta mewujudkan bahan
bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Di
sekolah huraian sukatan bahasa Melayu mengandungi objektif dan nilai-nilai yang
dirancang dan disampaikan kepada pelajar-pelajar dengan harapan agar pelajar-pelajar
akan terdidik berbahasa dan berbudaya tinggi. Sekiranya pelajar-pelajar mampu
bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik secara tidak langsung mereka mudah
berkomunikasi dengan rakan-rakan yang berbagai kaum. Mereka juga akan memupuk
sikap saling menghormati antara satu sama lain dan memahami budaya kaum lain.
Begitu juga hubungan guru dengan ibu bapa pelajar tersebut. Mereka mudah
berkomunikasi dan dapat mengeratkan lagi silaturahim antara pihak sekolah dan
ibu bapa pelajar. Kesemua ini dapat memupuk semangat perpaduan pada peringkat
awal lagi iaitu semasa mereka berada di bangku sekolah dan akan diamalkan
sehinggalah ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menjadi masyarakat yang
sentiasa mengekalkan perpaduan.
(Sedutan
daripada blog Cikgu Rozali)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan